12 OKT : Tindakan pelawak, Jep Sepahtu yang membuat pembayaran zakat berjumlah kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 10 tahun sejak 2016 hingga 2025 mendapat pujian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Zulkifli menyifatkan tindakan Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin itu sebagai contoh ketelusan dan integriti dalam menunaikan kewajipan agama, selain menjadi inspirasi kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat saudara Jep Sepahtu (Mohd Nadzri Zainal Abidin) yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Kita ambil dari sudut positif, dan doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Menurut Zulkifli, perkongsian itu juga memperlihatkan keberanian Jep dalam mempertahankan integriti dan menangkis fitnah menerusi bukti pembayaran zakat yang direkodkan.
Beliau berkata, tindakan figura awam seperti Jep wajar dijadikan iktibar oleh masyarakat, khususnya dalam memahami kepentingan menunaikan kewajipan zakat.
“Pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti beliau wajar dijadikan ibrah dan iktibar terbaik buat seluruh masyarakat.
“Zakat bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi benteng ekonomi serta penyambung hayat buat golongan yang memerlukan.
“Ia mengukuhkan persaudaraan dan keadilan sosioekonomi ummah dengan membela nasib golongan asnaf,” katanya.
Terdahulu, Jep menerusi hantaran di media sosial berkongsi resit pembayaran dibuat namun menjelaskan ia bukan bertujuan berbangga namun sebagai bukti.
Beliau turut menegaskan tidak berniat mengambil hak orang lain, sebaliknya bersyukur kerana diberi rezeki untuk berkongsi dengan golongan yang memerlukan.