13 OKT : Kunjungan ke Banda Hilir kini memberi pengalaman lebih santai apabila pengunjung dapat berjalan kaki, menikmati keunikan bangunan bersejarah dan singgah di gerai berhampiran tanpa perlu terlalu bimbang dengan pergerakan kenderaan.
Perubahan itu antara kesan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) yang semakin dirasai pengunjung, khususnya keluarga yang mahu meluangkan masa meneroka kawasan tumpuan pelancongan berkenaan dengan lebih selesa.
Bukan sekadar memberikan ruang untuk bersiar-siar, keadaan itu turut membolehkan pengunjung menikmati tarikan di Banda Hilir mengikut keselesaan sendiri, sama ada berhenti untuk bergambar, berehat atau mendapatkan makanan dan cenderahati.
Bagi Amira Husna Abd Rashid, 34, dari Tangkak, Johor, suasana Banda Hilir yang lebih selesa membuatkannya semakin gemar berkunjung ke Melaka, terutama ketika berlangsungnya program tertentu.
“Sekarang mahu bersiar-siar sekitar Banda Hilir saya berasa lebih selamat, lebih lagi ketika menyorong kereta sorong anak. Berbeza dengan dulu mahu melintas jalan perlu lebih berhati-hati risau kalu ada kenderaan yang lalu.
“Mahu ambil gambar juga tidak perlu tergesa-gesa, boleh ambil macam-macam gaya, semenjak inisiatif ini dilaksanakan saya semakin kerap ke Melaka terutama apabila ada penganjuran program tertentu, suasana pasti lebih meriah,” katanya, lapor Melaka Hari Ini.
Pengunjung dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Norazuan Aman Shah, 60 berkata, pengalaman berjalan kaki membolehkannya menghayati setiap lokasi dengan lebih teliti berbanding ketika melalui kawasan itu menggunakan kenderaan.
“Apabila berjalan dari satu lokasi ke lokasi seterusnya pemerhatian kita pastinya lebih teliti, berbeza apabila bergerak dengan menaiki kenderaan, semuanya perlu cepat. Cara ini menjadikan saya lebih puas, hendak berjalan pula tidak ada gangguan kereta atau motosikal.
“Jika haus boleh singgah sebentar untuk membasahkan tekak atau menikmati makanana ringan ditawarkan di gerai-gerai berhampiran, mahu beli cenderahati juga tidak perlu pergi jauh kerana semuanya ada di satu lokasi.
“Kaedah ini lebih tersusun dan memudahkan pengunjung, benda baik saya puji dan kerajaan negeri perlu teruskan inisiatif dilaksanakan ini,” katanya.
Menurut Norazuan, kemudahan untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain turut menjadikan kunjungan lebih praktikal kerana pelbagai pilihan makanan dan cenderahati tersedia berhampiran laluan pejalan kaki.
Kesan pelaksanaan CFZ turut dirasai peniaga apabila pengunjung mempunyai lebih banyak ruang dan masa untuk singgah di gerai mereka, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan.
Selepas hampir tiga tahun pelaksanaannya, CFZ semakin memperlihatkan peranannya dalam membentuk pengalaman pelancongan yang lebih selesa, dengan Banda Hilir bukan sahaja menjadi lokasi untuk melihat bangunan bersejarah, malah tempat untuk bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga.
*Foto Utama: Melaka Hari Ini
