13 OKT : Penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar soal agama atau bangsa, tetapi perjuangan kemanusiaan untuk mempertahankan hak setiap insan hidup bebas, bermaruah dan menentukan nasib sendiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjajahan, penindasan dan kekejaman terhadap orang awam tidak boleh dibiarkan berterusan, manakala solidariti masyarakat antarabangsa perlu disusuli tindakan nyata.
“Penderitaan rakyat Palestin bukan soal agama atau bangsa, tetapi soal kemanusiaan dan hak setiap insan untuk hidup bebas, bermaruah serta menentukan nasib sendiri, justeru penjajahan, penindasan dan kekejaman terhadap orang awam tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas menyantuni keluarga besar Sumud Nusantara malam ini sempena Global Sumud Flotilla Congress 2026 yang menghimpunkan solidariti masyarakat antarabangsa bagi memperjuangkan kebebasan Palestin serta membela hak dan maruah rakyatnya, termasuk di Gaza.

Pada majlis itu, pelancaran Sumud Protocol menjadi antara langkah untuk menyelaraskan usaha pembebasan Palestin menerusi lima jalur gerakan, merangkumi perfileman, tindakan ahli parlimen, gerakan masyarakat sivil dan belia, flotila ke Gaza serta Kongres Global.
Anwar berkata Resolusi Asas Gerakan Global Sumud yang dimeterai pada majlis itu perlu diterjemahkan kepada tindakan bersama yang tersusun dan berterusan.
“Solidariti tidak harus terhenti pada kata-kata, sebaliknya perlu disusuli usaha nyata untuk memastikan hak rakyat Palestin terus diperjuangkan,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperjuangkan kebebasan Palestin memerlukan kesungguhan dan kerjasama masyarakat antarabangsa bagi memastikan hak rakyatnya untuk menentukan masa depan sendiri terus dipertahankan.
“Insya-Allah, dengan kesungguhan dan kerjasama masyarakat antarabangsa, kita akan terus mengusahakan keadilan, hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta masa depan yang lebih aman dan bermaruah bagi rakyat Gaza,” katanya.