27 OKT : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim belum bercadang melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu sehingga kemelut pembatalan pelantikan barisan itu diputuskan mahkamah.
Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri ketika ini masih berjalan tanpa barisan Exco, sementara menunggu keputusan berhubung kes berkenaan.
“Setakat ini belum lagi…tidak bercadang (lantik Exco baharu). Kalau setakat ini macam itu lah (tunggu keputusan kes mahkamah).
“Kita dah bawa ke mahkamah, kita tunggulah keputusan mahkamah, tapi mungkin ada perbincangan dan sebagainya, saya tak pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran dan menyampaikan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Sekolah, Gedung Lalang Ampangan, hari ini.
Pada 20 September lalu, Istana Negeri Sembilan mengumumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Pembatalan itu kemudiannya diwartakan pada 24 September, dengan alasan mereka melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz selepas bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan
Pada 14 Oktober lalu, 10 bekas Exco itu memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penentuan berhubung kesahihan pembatalan pelantikan mereka oleh Tuanku Muhriz, bulan lalu.
Sepuluh pemohon berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Dalam perkara berkaitan, Ismail akui tidak mengetahui soal dakwaan masih ada bekas Exco yang belum memulangkan kenderaan rasmi walaupun arahan berbuat demikian dikeluarkan selepas pembatalan pelantikan mereka.
