2 NOV : Semangat bekas wakil rakyat dan veteran UMNO yang masih membara menjadi antara kekuatan jentera Barisan Nasional (BN) dalam usaha mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, sokongan menerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) itu memperlihatkan komitmen mereka untuk terus menyumbang kepada perjuangan parti.
Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, semangat berkenaan jelas ditunjukkan menerusi kehadiran dan penglibatan mereka dalam Program MUBARAK Malaysia Bersama Sahabat Setia Mubarak Melaka di Kampung Pulau, hari ini.
“Saya dapati mereka bersemangat membawa gelombang biru untuk memastikan bahawa semangat ini akan terus dibawa sehingga 14 November ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Majlis turut dihadiri Presiden MUBARAN, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman serta lebih 300 ahlinya termasuk badan gabungan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Ab Rauf, MUBARAK bukan sekadar menghimpunkan bekas wakil rakyat dan pesara UMNO, malah menjadi wadah untuk meneruskan perjuangan serta mewariskan semangat pengorbanan kepada generasi seterusnya.
Katanya, komitmen ahli MUBARAK amat dihargai kerana mereka masih aktif menyumbang meskipun sudah lama bersara, termasuk ada dalam kalangan mereka yang berusia sehingga 80 tahun.
“Jadi saya amat berterima kasih pada MUBARAK kerana walaupun sudah lama bersara tetapi semangat perjuangannya masih terus membara,” katanya.
Ab Rauf berkata, jentera MUBARAK bergerak dengan pendekatan tersendiri yang menumpu kepada kelompok pesara serta membantu menggalakkan pengundi dalam lingkungan mereka keluar mengundi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pendekatan Melaka Sayang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak dua tahun lalu bukan sekadar program menjelang pilihan raya, sebaliknya menjadi landasan untuk menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat secara berterusan.
Katanya, kerajaan negeri tidak mahu menjadikan tempoh kempen selama dua minggu sebagai ruang untuk membuat janji baharu, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai pencapaian sepanjang tempoh pentadbiran.
“Jadi dua minggu ini kita menyantuni rakyat dan kita menyerahkan pada rakyat untuk menghakimi apa yang telah kita lakukan untuk mereka di bumi Melaka ini.
“Itu sebab kita tak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang datang membawa 1,000 janji kerana kita telah menyempurnakan janji kita pada pilihan raya lepas,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menerima lebih 4,800 aduan rakyat sepanjang tempoh perkhidmatannya dan berjaya menyelesaikan kira-kira 75 peratus daripadanya menerusi kerjasama pengerusi jawatankuasa keselamatan kampung serta barisan Exco mengikut portfolio masing-masing.
