2 NOV : Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi menafikan dakwaan kononnya beliau gagal menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebaliknya, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah mengesahkan beliau sudah menamatkan pengajian dan bakal menghadiri majlis graduasi pada 22 November ini.
Calon termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 itu berkata majlis berkenaan dijadual berlangsung beberapa hari selepas hari pengundian PRN Melaka.
“Malah saya akan menghadiri majlis graduasi di UKM yang akan berlangsung cuma beberapa hari selepas hari pengundian iaitu pada 22 Nov,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan di media sosial berhubung status pengajiannya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Piatu, hari ini.
Mengulas tawarannya kepada pengundi, anak muda berusia 23 tahun itu berkata mahu membawa pendekatan politik baharu dan segar bagi meningkatkan keyakinan masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap peranan wakil rakyat.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan tidak hanya diberikan kepada anak muda, sebaliknya meliputi keperluan seluruh komuniti termasuk nelayan serta penduduk yang berdepan masalah banjir di beberapa kawasan DUN berkenaan.
Dalam usaha mendekati pengundi, Mukhlis turut menjadikan perjalanan politik bapanya, Julasapiyah Kassim sebagai sumber inspirasi untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Kuala Linggi.
Katanya, bapanya tidak pernah berhenti menyantuni penduduk di kawasan itu meskipun gagal memenangi kerusi berkenaan selepas lima kali bertanding.
“Ya orang kecam, ayah saya pernah bertanding di sini lima kali, sejak saya belum lahir lagi dan tidak pernah menang, tetapi saya ambil itu sebagai benih perjuangan untuk tambah semangat bekerja lebih keras untuk mendapatkan hati pengundi di DUN Kuala Linggi.
“Saya ini dari kecil sudah lihat ayah bekerja dan bertemu rakyat di sini, jadi soal khidmat ini sudah sebati dalam diri, walaupun kalah dia tetap bekerja, jadi benih-benih baik itu kita ambil supaya kita dapat bawa satu implikasi yang sangat baik di DUN Kuala Linggi, teruskan semangat ayah itu,” katanya.
Pada PRN kali ini, Mukhlis berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Rosli Abdullah dan Nur Farhana Hamzah daripada Parti Bersama Malaysia.
SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.
*Foto : Facebook Mukhlis Mubin