3 NOV : Pakatan Harapan (PH) Melaka melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, ‘Melaka Rumah Kita’, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri pintar, peluang ekonomi generasi muda serta sektor pelancongan.
Manifesto itu menggariskan tiga teras utama dan 12 aspirasi sebagai hala tuju pembangunan negeri, selain meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, menerusi teras Smart Melaka, gabungan itu mahu menjadikan Melaka sebagai negeri pintar bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan serta kualiti hidup rakyat.
Katanya, pendekatan itu turut memberi penekanan kepada sistem penyampaian yang lebih mudah, cekap dan mesra pengguna.
Bagi teras kedua, PH mencadangkan 30 peratus kontrak kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperuntukkan kepada golongan belia dan beliawanis bagi membuka ruang pekerjaan, perniagaan serta pengalaman kepada anak muda tempatan.
“Bagi teras kedua, PH mencadangkan 30 peratus daripada kontrak kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperuntukkan kepada golongan belia dan beliawanis bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan pengalaman kepada generasi muda tempatan.
“Teras ketiga pula, kita menyasarkan sehingga tahun 2032, seramai 25 juta pelancong boleh datang ke Melaka dan sekali gus menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran manifesto PH di Bilik Gerakan Utama PH, hari ini.
Selain tiga teras itu, Adly berkata, 12 aspirasi turut dirangka berdasarkan keperluan rakyat, termasuk penyediaan rumah, kerajaan mesra rakyat, pekerjaan berkualiti, jaminan masa depan anak muda, pemerkasaan wanita, kemajuan usahawan serta kebajikan masyarakat.
Lima lagi aspirasi meliputi kelancaran lalu lintas dan jaringan pengangkutan, pemerkasaan syiar Islam serta institusi agama, pentadbiran bersih dan berintegriti, pemanfaatan tanah terbiar sebagai sumber rezeki serta mempertahankan hak pemilikan tanah rakyat.
“Fokus dan aspirasi terakhir kita adalah perpaduan keharmonian Melaka untuk semua, di mana kita harus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat kerana kita tahu masyarakat kita adalah masyarakat yang majmuk sifatnya,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran manifesto pada hari keempat selepas penamaan calon memberi ruang kepada rakyat meneliti dan membincangkan tawaran berkenaan sepanjang tempoh kempen.
Katanya, setiap teras dan aspirasi akan diperincikan menerusi siri wacana yang diadakan sepanjang kempen PRN Melaka ke-16.