6 NOV : Enam hari berkempen di Rembia memberi petanda positif buat calon muka baharu yang mewakili Barisan Nasional (BN), Ahmad Norazril Abd Aziz.
Calon nombor 2 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia akui bersyukur menerima respons yang cukup baik daripada pengundi serta penyokong parti.
Beliau berkata, perjalanan kempen setakat ini berjalan lancar dengan pelbagai program dilaksanakan bagi mendekati masyarakat setempat.
Menurutnya, kehadiran Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh bersama jentera pilihan raya ke kawasan itu turut meningkatkan semangat beliau dan petugas parti untuk memperhebat usaha meraih sokongan.
“Kehadiran pucuk pimpinan BN ke kawasan ini bukan satu tekanan kepada saya sebaliknya memberikan semangat kepada kami dan jentera untuk terus bekerja dengan lebih kuat seterusnya memberikan kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan Ab Rauf ke Bilik Gerakan DUN Rembia pada Khamis.
Menyentuh soal gerak kerja kempen setakat ini, Ahmad Norazril berkata, jentera BN menumpu untuk memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian selain terus meyakinkan mereka supaya memberikan sokongan kepada parti itu.
Beliau turut melihat kerjasama erat jentera di peringkat akar umbi sebagai antara faktor penting dalam memastikan kelancaran kempen BN di kawasan berkenaan.
“Suka juga untuk saya menyifatkan kerjasama antara jentera di peringkat akar umbi sebagai antara kekuatan dalam memastikan gerak kerja kempen di Rembia ini berjalan lancar dan semoga BN peroleh kemenangan di sini,” katanya.
