7 NOV : Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan lebih RM3 juta bagi membantu masyarakat India dan Cina dalam tempoh tiga tahun lalu menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk sumbangan perayaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri memastikan kebajikan semua kaum terus terbela tanpa mengira musim pilihan raya.
Katanya, bantuan kepada kedua-dua komuniti berkenaan sudah dilaksanakan secara berterusan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menepis tanggapan ia hanya diberikan bersempena sambutan perayaan atau kempen pilihan raya.
“Memang benar sambutan Deepavali tahun ini kebetulan berlangsung ketika musim pilihan raya. Namun, bantuan kepada kaum India, termasuk sumbangan perayaan dan kebajikan, bukanlah sesuatu yang baru bermula pada musim pilihan raya.
“Sebaliknya, kita sudah melaksanakannya secara berterusan selama tiga tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali anjuran MIC Masjid Tanah di Durian Daun, malam tadi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah sahaja, lebih 400 penerima sudah menerima manfaat menerusi Bantuan MeSRA Am (Melaka Sayang Rakyat) dengan nilai keseluruhan RM4.3 juta.
Katanya, setiap bantuan yang disalurkan kepada masyarakat, tanpa mengira jumlahnya, mempunyai nilai tersendiri dalam memastikan kesejahteraan rakyat selain menjadi sebahagian daripada usaha membina masa depan generasi Melaka.