7 NOV : Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di negeri itu membuat laporan polis terhadap Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar susulan kenyataannya yang disifatkan sebagai penderhakaan terhadap institusi diraja.
Beliau meminta semua kepimpinan bahagian, ahli jawatankuasa serta ketua sayap parti di Johor tampil membuat laporan beramai-ramai bagi menyampaikan mesej bahawa institusi diraja dan Perlembagaan negara perlu dihormati.
“Apabila saya melihat kenyataan yang dibuat oleh AG semalam, saya anggap kenyataan itu satu penderhakaan.
“Apa yang telah dititah, tidak diikut dengan pelbagai alasan. Mahkamah dah putuskan, Lembaga Pengampunan dah putuskan, syarat telah diikut tetapi masih lagi ada tangan-tangan gaib yang ingin menidakkan apa yang telah dititahkan, apa yang telah diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, Serkam, hari ini.
Beliau berkata, laporan polis berkenaan perlu dibuat sebaik sahaja program itu selesai dan meminta semua pemimpin parti dari negeri itu mengambil tindakan segera.
Dianggarkan sekitar 2,000 laporan polis akan dibuat seluruh negeri itu.
Sementara dalam sidang media selepas itu, Onn Hafiz menyerahkan siasatan kepada pihak polis sebelum tindakan lanjut mengikut proses undang-undang.
“Satu tindakan perlu diambil. Berdasarkan laporan-laporan polis yang dibuat ini sudah pasti kertas siasatan perlu dilaksanakan dan siasatan akan dibuat oleh PDRM, dan lepas itu kita biar undang-undang take its course,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kritikan terhadap pemimpin BN, beliau berkata pihak yang membuat serangan politik juga perlu melihat kelemahan dalam kalangan pemimpin sendiri.
Katanya, pemimpin pembangkang sering membangkitkan pelbagai isu membabitkan pemimpin BN, namun tidak menyentuh kontroversi lain termasuk isu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.Ramanan, mafia korporat dan kes melibatkan pemimpin DAP, Lim Guan Eng.
“Macamlah pemimpin-pemimpin mereka malaikat. Jadi kalau dia nak kata kita, cermin diri sendiri dululah,” katanya.
Seruan sama turut disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang menegaskan laporan polis akan dibuat di seluruh negara.
“Pemuda UMNO Malaysia di seluruh peringkat negeri dan bahagian juga akan membuat laporan polis berhubung perkara ini, bagi membolehkan pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan titah dan perintah mahkamah tersebut,” tegasnya.
Semalam, Najib disahkan sudah melunaskan denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah sesuai pengampunan bersyarat diterima pada 18 September lalu.
Namun, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Sultan Ibrahim itu.
Menurut AGC, penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah itu, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
AGC berkata, terdapat dua interpretasi perlu diberikan penelitian lanjut iaitu pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda dan hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Kemudian, hari ini, Istana Negara menegaskan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membabitkan Najib menjurus kepada tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim bertitah, semua syarat yang ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi, justeru tiada alasan untuk mempertikaikan pelaksanaannya.
