11 NOV : Dua calon plihan raya tempatan Ecuador maut ditembak ketika menghadiri perhimpunan politik di Huaquillas, wilayah El Oro, malam Isnin.
Serangan bersenjata di kawasan kejiranan Los Israelitas itu turut mengorbankan seorang wanita, menurut laporan media tempatan yang memetik sumber polis.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai bekas Datuk Bandar Huaquillas, Ronald Farfan yang berhasrat kembali menerajui bandar itu, serta Cristhian Rugel yang bertanding bagi kerusi ahli majlis perbandaran.
Ketika kejadian, mereka menghadiri perhimpunan bersama penyokong sebagai sebahagian daripada kempen menjelang pilihan raya berkenaan, lapor Xinhua.
Polis kini menyiasat beberapa kemungkinan motif serangan, termasuk ancaman serta kegiatan pemerasan yang dikaitkan dengan kumpulan penjenayah.
Wilayah El Oro merekodkan hampir 1,000 kes pembunuhan sejak awal tahun ini, meningkat kira-kira 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, berdasarkan angka rasmi yang dipetik media tempatan.
Pilihan raya pada 29 November ini menyaksikan rakyat Ecuador memilih ketua dan timbalan ketua pentadbiran wilayah, datuk bandar, ahli majlis perbandaran dan luar bandar serta anggota lembaga pentadbiran kawasan luar bandar.