28 NOV : Gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lebih 150,000 pengguna di Pantai Timur Sabah perlu ditangani segera, terutama bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terus terjejas ketika membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap kesulitan yang terpaksa ditanggung penduduk di lapan daerah susulan runtuhan menara penghantaran elektrik di Ranau, Khamis lalu.
Beliau menggesa Sabah Electricity mempercepatkan kerja pemulihan supaya bekalan dapat disambung semula lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Anwar turut meminta syarikat utiliti itu menyediakan bekalan elektrik sementara dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan serta kemudahan awam kritikal.
Katanya, kepantasan tindakan amat penting bagi mengurangkan tempoh kesulitan yang terpaksa ditanggung penduduk.
“Bencana mungkin sukar dielakkan, tetapi kepantasan kita bertindak menentukan berapa lama rakyat terpaksa menanggung kesannya. Setiap jam sangat bermakna buat mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Insiden pada 26 November lalu membabitkan menara penghantaran elektrik T313 di Ranau yang tumbang kira-kira jam 6.04 pagi, sekali gus menyebabkan dua litar talian penghantaran elektrik 275 kilovolt (kV) dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah terputus.
Lapan daerah terjejas ialah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid dan Kinabatangan, dengan seramai 153,599 pengguna berdaftar terkesan akibat gangguan itu.
Sabah Electricity sebelum ini menetapkan tempoh enam hari bagi menyambung semula grid yang terjejas, dengan sasaran pemulihan penuh pada 2 Disember atau lebih awal.
Sepanjang tempoh itu, bekalan dijana menggunakan stesen jana kuasa sedia ada di Sandakan dan Tawau, selain dibantu set jana kuasa mudah alih. Bekalan turut diagihkan secara berperingkat dengan pelaksanaan catuan bergilir bagi mengimbangi kapasiti penjanaan yang terhad.
Gangguan berkenaan turut menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi apabila 1,196 tapak selular dilaporkan terkesan setakat 26 November, sekali gus menambah kesulitan penduduk di kawasan terlibat.