Campur tangan politik punca kerosakan institusi urus dana awam
28 NOV : Campur tangan ahli politik dalam pengurusan institusi yang mengendalikan dana awam hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak kerosakan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengurusan badan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu diserahkan kepada golongan profesional yang berwibawa dan berintegriti tanpa dipengaruhi kepentingan politik.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan dana serta amanah rakyat diuruskan secara cekap dan kepentingan pelabur terus dilindungi.
“Jadi, tahniah kepada pengurus-pengurus. Kita memberi sokongan kepada mereka untuk menguruskan dengan baik dan cekap dan Amir Hamzah (Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) ada di sini, kita tidak campur urusan mereka. Ini kekuatan Kerajaan MADANI.
“Biar pengurusnya uruskan, biar banknya diuruskan oleh mereka, jangan kita campur. Apabila orang politik campur, lebih banyak kerosakan akan berlaku sebagaimana pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 di Stadium Merdeka, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa prinsip tatakelola mesti menjadi asas pengurusan semua institusi dan agensi kerajaan, khususnya badan yang dipertanggungjawabkan menjaga kepentingan serta wang rakyat.
Katanya, penyelewengan yang berlaku dalam beberapa institusi sebelum ini perlu didedahkan supaya pengkhianatan terhadap amanah awam tidak berulang.
Beliau menegaskan wang yang diselewengkan sepatutnya dikembalikan kepada rakyat untuk dimanfaatkan bagi keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan.
“Ramai yang tidak senang bila dibongkar (skandal dana) 1MDB (1Malaysia Development Berhad), soal FELDA, soal Tabung Haji (TH)… tetapi ini bukan kerja kita. Kerja kita itu harus membongkar supaya jangan lagi amanah ini dikhianati.
“Puluhan bilion hilang…wang itu patut kembali ke sekolah, universiti, klinik, rakyat…Tabung Haji RM10 bilion hilang. Wang siapa? Wang petani, nelayan, orang kampung, orang yang berniat menyimpan dan menabung untuk menunaikan fardu haji pun dikhianati,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga terpaksa menanggung bayaran hampir RM980 juta setahun bagi melunaskan hutang susulan pengurusan tidak bertanggungjawab sebelum ini.