22 FEB – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada USD109.7 bilion setakat 15 Februari 2021 daripada USD107.8 bilion pada 15 Januari 2021.
Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata, kedudukan rizab berkenaan mencukupi untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang negeri jangka pendek.
Bank pusat itu berkata, komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (USD99.7 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (USD1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (USD1.2), emas (USD2.4 bilion) dan aset rizab lain (USD5 bilion).
Aset-aset BNM pula terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain, termasuk SDR berjumlah sehingga RM441.03 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.14 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.84bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM18.62 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM16.93 bilion).
Tambah BNM lagi, modal dan liabiliti pula terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM172.91 bilion), mata wang dalam edaran (RM140.20 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM140.18 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM7.95 bilion), deposit-deposit lain (RM11.81 bilion), kertas Bank Negara (RM9.41 bilion), peruntukan SDR (RM7.79 bilion) dan liabiliti lain (RM4.36 bilion).