6 JUN : Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala 15 orang lagi cedera dalam satu serangan rambang seorang lelaki yang bersenjatakan pisau di bandar Anqing di wilayah Anhui timur China semalam.
Lelaki tersebut kemudiannya berjaya ditahan pihak berkuasa dan setakat ini pihak berkuasa China masih menjalankan siasatan berhubung motif serangan itu.
Manakala, mangsa yang cedera dalam insiden tersebut dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, kata jurucakap polis.
Pada Disember tahun lalu, serangan pisau di luar sebuah sauna di timur laut China membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan tujuh yang lain.
Seorang pengawal keselamatan sekolah yang menggunakan pisau mencederakan sekurang-kurangnya 39 orang di sebuah tadika di wilayah selatan Guangxi pada Jun tahun lalu dan suspek dijatuhi hukuman mati.