13 JUL : 10 rakyat Malaysia yang berada di India berada dalam keadaan selamat susulan fenomena hujan lebat di pergunungan Manali, Himachal Prasesh, India.
Mereka sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi oleh mana-mana pihak.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi turut telah dapat berhubung dengan salah seorang daripada mereka yang berada di Manali.
“Laporan awal menyatakan 12 rakyat Malaysia didapati telah gagal dihubungi oleh ahli keluarga namun maklumat terkini diperoleh hanya 10 rakyat Malaysia manakala dua lagi merupakan warga China dan British.
“Berikutan perkembangan ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan berusaha
untuk membawa keluar kumpulan tersebut ke New Delhi pada 13 Julai,” kata Wisma Putra pada Khamis.
Wisma Putra berkata, sekiranya rancangan evakuasi berjalan dengan lancar kumpulan tersebut dijangka mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari yang sama.
“Kementerian ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan oleh pihak berkuasa Kerajaan India dalam usaha mengesan kesemua rakyat Malaysia tersebut,” ujar Wisma Putra lagi.