11 NOV : Kerajaan bakal mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan lapan jenis barangan yang diputuskan kerajaan sebagai barangan kawalan sempena Deepavali dipatuhi peniaga.
“SHMMP Deepavali 2023 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, dan peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut akta itu.
“Pendekatan ini diambil atas keprihatinan kerajaan untuk mengimbangi keperluan rakyat, khususnya bagi mereka yang meraikan Deepavali, tidak terjejas serta mampu membeli pada harga berpatutan dan pada masa sama, memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Fuziah berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga pada peringkat pengguna serta peniaga.
SHMMP Deepavali 2023 dilaksanakan bermula bermula tiga hari sebelum perayaan Deepavali dan satu hari semasa dan tiga hari selepas perayaan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan lapan jenis barangan yang dikawal bawah skim itu, antaranya bawang merah besar import, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia) dan tomato.
Bagi memastikan kawalan tersebut berjalan lancar, seramai 2,200 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama 900 pegawai pemantau harga di seluruh negara, ditugaskan di lokasi strategik seperti pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.
Ia bertujuan supaya tindakan segera dapat diambil atas aduan pengguna selain penguatkuasaan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan.