7 DIS : Agensi pelaksana MyDigital ID, MIMOS Berhad menjamin inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian yang diperkenalkan itu adalah selamat dan tidak akan berlaku pelanggaran atau kebocoran data pengguna.
Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS Berhad, Dr Saat Shukri Embong berkata dalam membangun sistem itu, MIMOS tidak menyimpan sebarang data peribadi pengguna sebaliknya pelayan (server) mereka hanya berfungsi untuk tujuan memproses transaksi pengesahan seseorang individu.
Katanya, MIMOS hanya bertindak untuk membuat verifikasi secara dalam talian berpandukan pangkalan data kerajaan yang sedia ada seperti Jabatan Pendataran Negara (JPN) sebelum mengeluarkan sijil digital pengguna.
“Pangkalan data semua di bawah jagaan kerajaan, kami (MIMOS) tidak terima dan simpan data, kami tidak simpan sijil digital pengguna, kami tidak ada punca kuasa kerana semua ini dilindungi akta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat berkaitan MyDigital ID bersama MIMOS di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Menurut beliau, kecurian identiti digital mungkin berlaku disebabkan pengguna berkongsi kata laluan peranti atau telefon mereka digodam.
Beliau berkata sekiranya telefon seseorang individu hilang atau dicuri, mereka boleh terus menghubungi talian penting MIMOS bagi memohon agar sijil digital berkenaan dibatalkan, sebelum pengguna perlu membuat pendaftaran semula untuk mendapatkan sijil digital baharu.
Beliau berkata MIMOS menjadikan beberapa negara seperti Estonia, India, Singapura, Kanada dan Australia sebagai penanda aras global pembangunan identiti digital, namun MyDigital ID dihasilkan mengikut acuan, keperluan dan penggunaan teknologi tempatan dengan kerjasama universiti tempatan.
Menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ia diwujudkan secara tergesa-gesa, Saat Shukri berkata inisiatif MyDigital ID sudah dibangunkan sejak 2016 apabila MIMOS menjalankan projek penyelidikan Platform Pengesahan Bersepadu sebagai sebahagian daripada Pembanguan Teknologi di bawah Rancangan Malaysia ke-11.
Berhubung tempoh masa pelaksanaan MyDigital ID, beliau berkata ketika ini proses pendaftaran bermula dengan anggota pentadbiran, pembuat dasar dan penjawat awam, sebelum ia diperluaskan kepada penerima bantuan kerajaan berdasarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bermula Mac tahun hadapan.
Pendaftaran untuk orang awam dijangka dimulakan pada Julai 2024.
MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menjadi individu pertama mendaftarkan diri dan memiliki identiti digital.
Pada 21 November lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada MIMOS untuk menyegerakan pelaksanaan MyDigital ID dan memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan.