9 SEPT : Sebarang tindakan penutupan sekolah mahu pun mengehadkan aktiviti luar di sekitar lokasi pencemaran bau kimia di bandar raya Johor Bahru akan dibuat selepas mendapat pandangan agensi terlibat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memantau rapi keadaan semasa susulan insiden itu.
“KPM akan sentiasa memastikan kesejahteraan pelajar dan guru berada pada tahap optimum. Oleh itu, garis panduan berdepan pencemaran mesti dipatuhi.
“Kita akan dapatkan nasihat dari agensi berkaitan dari masa ke masa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan pencemaran bau yang berlaku terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan KPM 2024 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana Kluang, Johor, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru Selasa lalu dilanda pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.
Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.
Keesokannya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dilaporkan mengesan tahap gas ammonia yang luar biasa tinggi di Sungai Pandan dan kawasan sekitar Kampung Melayu Pandan.
Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang kemudiannya mengarahkan semua sekolah di kawasan terlibat menangguhkan aktiviti luar sebagai langkah berjaga-jaga.