KENYATAAN MEDIA
JABATAN PENJARA MALAYSIA
Jabatan Penjara Malaysia mengambil maklum dakwaan video tular berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan kenderaan jabatan dalam satu operasi pengiringan banduan ke mahkamah pada 14 April 2026.
Untuk makluman, operasi pengiringan tersebut melibatkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi mahkamah serta hospital sekitar Lembah Klang. Konvoi terdiri daripada dua buah bas dan sebuah van yang bertindak sebagai kenderaan pendahulu.
Sepanjang perjalanan, konvoi telah bergerak secara teratur dengan penggunaan lampu mata arah dan siren bagi tujuan keselamatan serta pematuhan kepada prosedur pengiringan yang ditetapkan. Jarak antara kenderaan juga dikekalkan secara konsisten dan tidak terputus. Insiden kerosakan teknikal yang melibatkan salah sebuah bas telah dilaporkan berlaku sejurus selepas konvoi bergerak.
Susulan itu, kenderaan yang terlibat tidak dapat meneruskan perjalanan dan keputusan diambil oleh pegawai bertugas untuk meneruskan pergerakan konvoi utama bagi memastikan penghantaran banduan ke destinasi mahkamah berjalan mengikut jadual serta tidak menjejaskan urusan perbicaraan.
Pergerakan konvoi juga melibatkan pemisahan laluan yang dirancang, apabila kenderaan pendahulu (van) meneruskan perjalanan ke hospital, manakala bas pengiring meneruskan perjalanan ke mahkamah yang telah ditetapkan. Semua pergerakan ini adalah selaras dengan perancangan operasi dan keperluan logistik semasa.
Jabatan ini menegaskan bahawa tiada pelanggaran SOP berlaku dalam operasi tersebut. Setiap tindakan yang diambil oleh pegawai adalah berlandaskan pertimbangan keselamatan, keutamaan operasi serta situasi semasa di lapangan.
Jabatan Penjara Malaysia sentiasa komited terhadap prinsip ketelusan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan prosedur.
Sehubungan itu, semakan dalaman akan tetap dilaksanakan untuk menilai keseluruhan operasi dan memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat yang boleh menjejaskan imej serta integriti Jabatan ini.
JABATAN PENJARA MALAYSIA