Baucar Buku MADANI RM100 diteruskan demi pupuk budaya membaca
29 MEI : Kerajaan meneruskan komitmen memperkasa budaya ilmu menerusi pemberian Baucar Buku MADANI bernilai RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan budaya membaca terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.
“Soal program Baucar Buku MADANI ini saya tiada pilihan. Saya beritahu Kementerian Kewangan bahawa ekonomi negara menghadapi kesukaran, tetapi tentang buku dan pendidikan harus tetap diberikan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, hari ini.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru semua kementerian agar melaksanakan langkah penjimatan secara berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada Malaysia.
Beliau berkata setiap kelemahan perlu diperbaiki dan mengurangkan kos yang perlu tanpa menjejaskan matlamat.
“Dampak daripada serangan yang dimulakan oleh rejim Zions dengan bantuan Amerika Syarikat itu menyebabkan ekonomi kita di Malaysia turut terjejas, jangan kita ambil remeh.
“Saya minta semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan IPT, rayulah macam mana pun, mesti ada pengurangan perbelanjaan. Mustahil daripada semua dana itu tiada yang boleh dijimatkan.
“Kita kena tahu masalah, perbaiki kelemahan, kurangkan kos yang perlu dan pada waktu sama menetapkan keutamaan.
“Soal penumpuan tentang mutu pendidikan, kemudahan asas pendidikan sama ada di sekolah atau universiti, Insya-Allah kita akan teruskan tanpa gangguan,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata minat membaca dalam kalangan orang ramai hari ini terutama orang muda semakin pudar.
“Budaya membaca kini menjadi masalah dalam dunia moden. Orang ramai sekarang sudah hilang minat membaca kerana mereka membaca hanya di media sosial.
“Ini menyebabkan mereka menjawab permasalahan kompleks dalam 20 perkataan, mencerca orang, menolak dasar negara..hanya dengan 40 perkataan. Ini bahaya dan merugikan. Ini bukan pendidikan mahupun bukan tradisi ilmu,” katanya.
