KENYATAAN MEDIA
AGENSI KAWALAN DAN PERLINDUNGAN SEMPADAN MALAYSIA (AKPS)
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerusi maklumat risikan yang diterima, telah bertindak menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel pada 7 Ogos 2026 lalu.
Berdasarkan semakan awal, penghantaran tersebut disyaki tidak mematuhi Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan termasuk menentukan sama ada barangan tersebut merupakan barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708] dan perundangan subsidiari yang berkaitan.
Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel. Pendirian Kerajaan MADANI dalam perkara ini adalah jelas dan konsisten. Sebarang percubaan untuk mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang- undang dan ketetapan kerajaan akan diambil tindakan tegas.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
AGENSI KAWALAN DAN PERLINDUNGAN SEMPADAN MALAYSIA (AKPS)
KEMENTERIAN DALAM NEGERI