7 pelaburan Tabung Haji rugi 100%, rugi hampir RM13 bilion
KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN
Dewan Rakyat hari ini bersidang khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) 2014 hingga 2020. Kerajaan menegaskan satu hakikat asas: kerugian yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan sebelum 2018 itu tidak hilang. la ditanggung bersama. Kerajaan memikul kos penyelamatan dengan wang rakyat, wang pembayar cukai. 9.7 juta pendeposit turut memikulnya, menerima kadar agihan serendah 1.25 peratus pada tahun 2018 dan sekitar 3 peratus semasa tahun pemulihan. Harga salah urus itu benar-benar dibayar oleh semua.
Membentangkan penerangan kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan meletakkan tanggungjawab kepada pendeposit sebagai asas perbahasan. Amanah dalam TH ialah wang seorang guru, seorang peniaga kecil dan seorang pesara, yang disimpan untuk menunaikan haji.
“Apabila amanah sebesar ini tergugat, kita tidak boleh berselindung di sebalik angka.
“Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerima kebenaran, memperbetulkan kelemahan dan memastikan sejarah yang sama tidak akan berulang,” tegas beliau.
Menggulung perbahasan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan tahap kerugian hampir RM13 bilion iaitu kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung pihak Kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018, dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.
“Salah urus TH ditanggung semua – beban kerugian yang dipindah ke kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung TH akhirnya menjejas pendeposit di TH.
“Kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan,” katanya.
Laporan RCI mendapati 14 pelaburan bermasalah dan proses kelulusan mencurigakan, termasuk insiden penyembunyian maklumat serta manipulasi laporan kesesuaian pelaburan. Tujuh daripada 14 pelaburan tersebut telah rugi 100% nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda (RM1.8 bilion), Putrajaya Perdana (RM193 juta) dan Trurich Resources (RM364 juta). Lima kertas siasatan telah dibuka; tuntutan sivil dikejar di dalam dan luar negara, termasuk penyiasatan atas mantan pengerusi dan pengurusan tertinggi berhubung unexplained wealth.
Kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.
Atas sebab yang sama juga, kerajaan komited memastikan krisis ini tidak berulang.
“Selaras dengan syor RCI, kerajaan akan menyusul dengan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan diteruskan, antaranya untuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti ke atas aktiviti pelaburan Tabung Haji,” kata Amir Hamzah.
Pengorbanan bersama telah membuahkan hasil, dan Kerajaan menegaskan komitmen penuhnya terhadap Tabung Haji. Kedudukan Tabung Haji hari ini stabil dan semakin kukuh:
-jumlah aset RM98.58 bilion melebihi liabiliti RM95.63 bilion pada 31 Disember 2025;
-dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025; dan
-kadar agihan meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025), berjumlah RM3.22 bilion.
Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan II turut menegaskan simpanan pendeposit selamat keseluruhan simpanan setiap pendeposit di TH dijamin oleh kerajaan di bawah seksyen 24 Akta 535, jaminan yang wujud sejak TH ditubuhkan dan masih kekal sehingga ke hari ini. Simpanan haji rakyat selamat, dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga, untuk generasi hari ini dan generasi akan datang.
KEMENTERIAN KEWANGAN