28 OKT : Kerajaan Negeri Sembilan mewartakan pemecatan dua Undang yang kedudukannya dipertikaikan serta mengiktiraf pelantikan pengganti bagi jawatan Undang Rembau dan Undang Sungei Ujong.
Dokumen warta bertarikh 23 Oktober itu ditandatangani Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin.
Menerusi pewartaan berkenaan, Datuk Mubarak Thahak dipecat daripada jawatan Undang Sungei Ujong berkuat kuasa 13 Mei 2025, manakala Datuk Maarof Mat Rashad dilucutkan jawatan Undang Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.
Turut diwartakan ialah pemecatan Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid sebagai Syahbandar Sungei Ujong, jawatan yang berfungsi sebagai pengimbang kuasa terhadap Undang di luak berkenaan.
Dokumen itu menyatakan keputusan berkenaan dibuat bagi melaksanakan ketetapan pemimpin adat di wilayah masing-masing.
Pada masa sama, pewartaan itu mengesahkan Hasan Ab Hamid sebagai Undang Rembau, sekali gus mempertikaikan kedudukan Abdul Rahim Yasin yang sebelum ini dianggap sebagai sekutu Mubarak.
Menurut DKU, pemasyhuran Abdul Rahim sebagai Undang Rembau tidak pernah disempurnakan mengikut tatacara yang sepatutnya.
Warta sama turut mengiktiraf Muhammad Faris Johari sebagai pengganti Mubarak bagi jawatan Undang Sungei Ujong.

Jika pewartaan itu disahkan sah dari sudut undang-undang dan adat, langkah berkenaan berpotensi memberi kesan kepada usaha kumpulan Mubarak mencabar kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sejak April lalu, Mubarak dan sekutunya dilaporkan berusaha menggunakan peruntukan Perlembagaan negeri untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta dan menggantikannya dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
Ketika ini, Undang Johol, Datuk Muhammed Abdullah merupakan satu-satunya Undang yang tidak sehaluan dengan Tuanku Muhriz tetapi kedudukannya tidak dipertikaikan dalam kemelut berkenaan.
Bagaimanapun, pendirian terkini kerajaan negeri berhubung pewartaan itu belum dapat dipastikan.
Kemelut institusi adat itu turut memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri apabila pelantikan 10 Exco ditarik balik selepas Tuanku Muhriz membatalkan perkenan terhadap pelantikan mereka susulan sokongan mereka kepada kumpulan Mubarak pada 20 September lalu.
Pembatalan itu kemudiannya diwartakan pada 24 September, dengan alasan mereka melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz selepas bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan
Pada 14 Oktober lalu, 10 bekas Exco itu memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penentuan berhubung kesahihan pembatalan pelantikan mereka oleh Tuanku Muhriz, bulan lalu.
Sepuluh pemohon berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Sementara menunggu keputusan mahkamah, Ismail terus mengendalikan pentadbiran kerajaan negeri tanpa barisan EXCO.