3 MAC : Kerajaan sedang memperhalusi kerjasama dengan empat syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan verifikasi kad sim dalam MyDigital ID.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata usaha itu juga sekali gus bagi mengelak risiko jenayah siber.
Menurutnya, jika dilaksanakan kelak, pengguna perlu mengesahkan identiti mereka menggunakan MyDigital ID ketika mendaftar kad sim baharu atau mengaktifkan semula kad sim sedia ada.
“Langkah ini dapat mencegah pendaftaran kad sim palsu dan menyukarkan ‘scammer’ menggunakan kad sim yang tidak sah.
“Apabila sistem ini dilaksanakan, hanya pemilik sebenar boleh menggunakan nombor mereka dan ‘scammer’ tidak boleh mendaftarkan kad sim menggunakan nombor palsu atau kad pengenalan orang lain sekali gus ini akan mengurangkan juga risiko jenayah siber dan penipuan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ia melibatkan syarikat telekomunikasi iaitu XOX, U Mobile, CelcomDigi dan Maxis.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata setakat Januari lalu, seramai 1.8 juta rakyat berdaftar dengan MyDigital ID dan kerajaan mensasarkan 15 juta berdaftar menjelang Julai tahun ini.
Selain itu katanya, 10 aplikasi sudah diintegrasikan ketika ini dengan 12 aplikasi masih dalam proses dan 12 aplikasi lain masih dalam perancangan sementara 8 lagi sedang dinilai.
“MyDigital ID akan digunakan dalam sistem sumbangan tunai rahmah dan semua subsidi bersasar akan menggunakan MyDigital ID bagi meningkatkan keperluan penggunaannya,” katanya.
Kerajaan sebelum ini menegaskan MyDigital ID yang dilancarkan tahun lalu itu bukannya bagi menggantikan kad pengenalan atau MyKad sebaliknya ia digunakan untuk pengesahan pengenalan diri secara digital.