1 MEI : Kerajaan MADANI terus komited untuk membangunkan infrastruktur di kawasan perumahan Generasi Baharu FELDA.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan memastikan kebajikan mereka terbela.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tidak menafikan keperluan kritikal terhadap kemudahan itu di kawasan perumahan berkenaan.
Beliau sempat merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pahang atas komitmen menyantuni keperluan generasi baharu FELDA di negeri masing-masing.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan Perak yang telah menyantuni keperluan rumah generasi kedua hingga keempat Felda.
“Cumanya mereka mohon agar infrastruktur untuk masuk ke kawasan perumahan itu dibiayai kerajaan Persekutuan dan insya-Allah saya akan berunding dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan bagi pelaksanaannya.
“Kerajaan juga komited melunaskan hutang yang ada termasuk dalam sidang belanjawan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebutkan hampir RM 1 bilion setiap tahun dibayar oleh Kementerian Kewangan sebagai komitmen untuk menyelesaikan hutang Felda ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Lembaran Kasih Aidilfitri 2025 bersama warga FELDA di Padang Awam Felda Palong Tiga, hari ini
Beliau turut mengumumkan peruntukan bernilai RM 1 juta bagi Projek Pemasangan Lampu Solar dan Lampu Jalan Awam di Sepanjang Jalan FT1283/FT044 DUN Palong.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM700,000 untuk pembinaan sebuah Unit Dewan Terbuka di FELDA Palong 5.
