2 MEI : Amaran suhu ekstrem hingga mencecah 55°Celcius yang tular di media sosial disahkan palsu.
Menurut amaran yang tular itu didakwa dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Namun APM dalam satu kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya penyebaran berita palsu itu.
Menurut agensi itu, maklumat yang sedang tular di aplikasi WhatsApp dan beberapa platform media sosial berkaitan ‘Amaran Suhu Akan Meningkat Antara 45 Hingga 55°Celcius’ adalah tidak benar.
“APM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung ramalan suhu ekstrem yang bakal melanda negara.
“APM sangat memandang serius berkenaan penyebaran maklumat palsu seperti ini kerana ia boleh memberikan kesan buruk khususnya kekeliruan dan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, APM menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum ditentusahkan.
Selain itu, APM berkata orang ramai perlu merujuk kepada sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan lain-lain agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
“Pastikan mendapat informasi sahih serta terkini mengenai keadaan dan amaran cuaca menerusi sumber rasmi dan sah,” katanya.