Kerajaan cari cara permudah rakyat Malaysia di luar negara mengundi

14 MEI : Kerajaan akan mencari cara termasuk memperkenalkan sistem undi dalam talian bagi memastikan hak rakyat tidak dinafikan dek kekangan teknikal untuk mengundi ketika di luar negara terutama melibatkan pelajar pada pilhan raya umum (PRU) akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu sudah dibawa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini.
Katanya, meski SPR sebuah badan bebas yang tiada campur tangan kerajaan namun beliau secara peribadi menyokong usaha mempermudah rakyat Malaysia dapat mengundi tanpa mengira keberadaan mereka.
“Kita akan pastikan sebelum PRU akan datang, satu proses diwujudkan untuk memudahkan pengundian.
“Jika tidak, berjuta-juta anak muda kita di luar negara boleh hilang hak untuk mengundi.
“Secara teknikal, mereka masih boleh mengundi dengan pergi ke kedutaan, tetapi proses itu tidak sepatutnya membebankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Malaysia Bersama Rakyat Malaysia di Persekutuan Rusia yang dihadiri lebih 100 diaspora, malam tadi.
Anwar menjawab pertanyaan dibangkitkan pelajar yang menyatakan jarak kampus dengan Kedutaan Malaysia di Moscow menghalang mereka untuk mengundi pada PRU lalu.
Dalam pada itu, Anwar berkata proses pengundian boleh dipermudah dengan kemajuan teknologi.
Sementara itu dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau turut berkongsi cabaran geopolitik semasa dihadapi Malaysia termasuk pelaksanaan tarif balas Amerika Syarikat (AS).
“Meskipun dunia berdepan ketidaktentuan, saya tegaskan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus berdiri teguh berpaksikan asas ekonomi yang kukuh serta semangat kebersamaan rakyat dari kalangan pimpinan, penjawat awam, penggerak masyarakat mahupun sektor swasta.
“Kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka tetapi pada tatakelola yang baik dan iltizam untuk menoktahkan budaya kebobrokan. Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama.
“Pemimpin harus menjauhi salah guna kuasa dan amalan memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga, sebaliknya tampil rendah diri, mendengar pandangan rakyat untuk merangka dasar yang mengangkat darjat, harkat dan martabat negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Selain itu, beliau berkata anak-anak Malaysia di luar negara pula memikul amanah besar susulan pelaburan berbilion ringgit syarikat seperti Infineon, Google, Microsoft, NVIDIA dan ARM yang hanya akan membuahkan hasil jika kita berjaya menyediakan bakat dan tenaga mahir yang mencukupi.
“Ilmu yang ditimba di rantau asing harus diterjemah kepada daya saing negara.
“Sebelum wacana melabuh tirai, saya tinggalkan pesanan buat anak-anak untuk terus berusaha menggapai langit dengan menimba ilmu dan meneroka bidang-bidang baharu yang diperlukan negara.
“Namun dalam setiap langkah, pastikan diri terus mengakar ke bumi, yakni berpegang teguh pada jati diri dan semangat kebangsaan yang membentuk kekuatan kita sebagai anak Malaysia,” katanya.
