17 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara anggota ASEAN dalam rangka untuk menghidupkan kembali idea mewujudkan dana kewangan sendiri.
Katanya, terdapat keperluan transformasi dalam ASEAN dalam sektor kewangan.
“Salah satu contoh ialah Inisiatif Chiang Mai iaitu bank pusat di rantau ini bekerjasama dan mempromosikan penggunaan mata wang tempatan seperti dalam usaha semasa dengan Thailand, Indonesia dan China yang menyasarkan 20 peratus urus niaga perdagangan dalam mata wang tempatan, mewakili berbilion dolar US.
“Ini menunjukkan bahawa jika kita boleh lakukan, kita harus meneruskan. Walaupun dolar US kekal sebagai mata wang dominan di dunia, sekurang-kurangnya kita boleh mempunyai beberapa bentuk penangguhan untuk membantu mengurangkan risiko dan melindungi kepentingan negara kita,” katanya, lapor Bernama.
Anwar berkata demikian dalam temu bual dengan TV BRICS pada hari terakhir lawatan rasminya ke Kazan, Rusia, semalam.
Beliau diminta mengulas soal transformasi dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Dalam temu bual itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat ASEAN, akhir bulan ini.
“Ia termasuk penyertaan daripada negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan semua enam negara Arab menghadirinya dan seterusnya akan disusuli dengan sidang kemuncak dengan China untuk memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi.
“Itu menunjukkan tumpuan kita kembali kepada asas ekonomi,” kata Anwar.
Katanya, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan yang diadakan setiap tahun disertai negara dari Asia Timur, India, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat pada akhir tahun.
Menurut Anwar, perhimpunan itu kelak bakal membuka peluang untuk melibatkan rakan dagangan utama ASEAN dan mengukuhkan komitmen kumpulan itu terhadap kerjasama pelbagai hala berasaskan peraturan.
“Saya berpendapat bahawa semangat ASEAN dan semangat BRICS tidak boleh dikenakan tindakan unilateral oleh mana-mana negara tertentu,” katanya.