4 JUN : Dalam usaha memperkukuh ekosistem francais negara di United Kingdom (UK), jawatankuasa bersama antara persatuan perniagaan francais Malaysia dan UK bakal diwujudkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu dapat membantu jenama francais Malaysia menembusi pasaran UK, menjelang tahun depan.
“Banyak peluang terbuka luas untuk syarikat Malaysia mengembangkan perniagaan francais di UK terutama berkaitan produk halal termasuk makanan, perubatan tradisional dan kosmetik.
“Saya akan mempengerusikan jawatankuasa Kabinet mengenai francais ini. Saya akan memperoleh laporan sejauh mana ia boleh dilakukan dengan segera dan pencapaiannya akan saya lihat setiap enam bulan apabila saya mempengerusikan jawatankuasa Kabinet ini dua kali setahun,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-UK di London, semalam sempena lawatan kerja empat hari ke UK.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia komited untuk membantu memperkukuh ekosistem francais melalui dasar pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), geran digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan matlamat mencapai RM100 bilion jualan menjelang 2030.
Katanya, kerjasama lebih erat akan dilaksanakan bagi menggalakkan francais UK meneroka pasaran ASEAN melalui Malaysia.