10 JUL : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencapai status centenarian apabila mencapai umur 100 tahun, hari ini.
Sempena sambutan ulang tahun centenarian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesejahteraan dan kekuatan tubuh badan untuk Dr Mahathir melalui satu kemas kini di Facebook.
“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam ucapannya, Anwar berkata gaya hidup Dr Mahathir yang sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan.
“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi.
“Semoga Allah SWT terus merahmati Tun, Insya-Allah,” tulisnya.
Dr Mahathir yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah mencapai centerian hari ini berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali.
Beliau menerajui kepimpinan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional selama 22 tahun pada 1981 hingga 2003 dan di bawah Pakatan Harapan pada Mei 2018 hingga Februari 2020.
*OLEH : HANUM RAJAK