Teknologi, nilai manusiawi tidak boleh terpisah

11 SEPT : Sehebat mana pun kemajuan teknologi, ia tidak boleh terpisah daripada nilai manusiawi.
Perkara itu ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) 2025 di Putrajaya pada Rabu.
Menurut Anwar, keseimbangan itu penting dalam memastikan yang lahir kelak bukan sekadar kepintaran tanpa jiwa.
“Saya tegaskan, sehebat mana pun teknologi, ia tidak boleh terpisah daripada nilai manusiawi. Kecerdasan Buatan (AI) hanya akan adil dan bermanfaat jika berakar pada etika, budaya, sejarah dan akhlak yang selari dengan nilai serta keyakinan kita, supaya yang lahir daripadanya mencerminkan kebenaran, bukan sekadar kepintaran tanpa jiwa.
“Maka dalam keghairahan kita untuk ‘menggapai di langit,’ jangan sesekali dilupakan tekad untuk ‘mengakar ke bumi,’ berpaut pada nilai, budaya, sejarah, agama dan akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Menurutnya, transformasi digital kini menjadi teras perjalanan negara, dengan Malaysia merekodkan pelaburan besar dalam semikonduktor serts elektrik dan elektronik (E&E).
“Saya hargai keberanian universiti awam yang pantas menyahut cabaran ini dengan menubuhkan fakulti baharu dalam bidang AI serta mempercepatkan penyelidikan dan latihan.
“Namun, saya juga mengingatkan tentang productivity paradox, yakni pelaburan berbilion dalam AI dan digital yang tidak diterjemah kepada produktiviti yang seimbang.
“Malah, jurang digital yang melebar dan membengkak berpotensi menjejaskan cita-cita kita terhadap keadilan sosial, menyebabkan desa dan pedalaman terus ketinggalan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kecanggihan yang kita kejar tidak boleh menenggelamkan rasa ihsan.
Namun katanya, itulah yang terjadi di Gaza hari ini, apabila teknologi canggih dan AI dijadikan senjata untuk mengabsahkan kezaliman, menindas tanpa belas, melanggar kewarasan akal serta melampaui batas kemanusiaan.
