23 SEPT : Tiada sebab untuk menaikkan harga barang susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa hujung bulan ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sistem itu dibangun bagi memastikan subsidi petrol disalur secara lebih tersasar dan telus.
“Seperti mana kita buat untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) fokusnya adalah memastikan subsidi benar-benar sampai kepada kumpulan sasar. SKDS ditumpukan kepada sektor pengangkutan awam dan logistik dengan kriteria yang jelas. Perkara yang sama kita guna pakai untuk SKPS.
“Bagi sektor logistik, kita sudah mengenal pasti jenis kenderaan yang layak untuk menerima Fleet Card. Dengan kemudahan ini, mereka boleh membeli petrol pada harga semasa RM2.05 seliter,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung Budi95, hari ini.
Menurut Amir Hamzah, jumlah kenderaan yang terlibat dalam skim itu agak kecil dan terhad di mana ia tidak memberi kesan ketara kepada harga barangan di pasaran.
“Kalau kita lihat, dari segi penggunaan petrol dalam sektor logistik, hanya sekitar 100,000 kenderaan sahaja yang terkesan menerusi skim SKPS. Ia tidak meluas seperti subsidi lain,” katanya.
Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan kelayakan BUDI95 mulai Khamis ini melalui laman web www.budimadani.gov.my.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 kepada setiap rakyat Malaysia dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang berkuat kuasa mulai 30 September.
Rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad masing-masing.
