26 OKT : Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memetrai perjanjian perdagangan timbal balik yang menyeluruh, hari ini.
Perjanjian itu bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran dan mempertingkat ketahanan rantaian bekalan.
Dokumen perjanjian ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan dua hala di sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Melalui satu kenyataan bersama, kedua-dua kerajaan menyatakan perjanjian itu akan memberikan pengeksport kedua-dua negara akses yang belum pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing.
Ia juga akan memperkukuh hubungan ekonomi jangka panjang antara Malaysia dan AS termasuk Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.
Malaysia juga bersetuju untuk memberikan akses pasaran keutamaan yang ketara kepada eksport barangan perindustrian AS termasuk bahan kimia, jentera, peralatan elektrik dan logam kenderaan penumpang termasuk eksport pertanian seperti tenusu, ayam dan beras.
AS pula mengekalkan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia dengan beberapa produk tertentu menerima kadar tarif sifar di bawah senarai rakan perdagangan yang diselaraskan.
Malaysia juga mengelakkan daripada mengenakan sekatan atau kuota terhadap eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS dan akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat AS bagi mewujudkan kepastian kepada sektor perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Sementara dalam bidang perdagangan digital, Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat-syarikat AS serta memastikan pemindahan data merentas sempadan yang dipercayai dengan perlindungan sewajarnya.
Malaysia dan AS berikrar untuk mengamalkan dan mengekalkan tahap perlindungan alam sekitar yang tinggi, memperkukuh penguatkuasaan hak pekerja, serta mempertingkat kerjasama dalam keselamatan pelaburan, kawalan eksport dan usaha memerangi pemalsuan barangan.
Kedua-dua negara juga komited untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi dan keselamatan negara serta mempertingkat daya tahan dan inovasi rantaian bekalan.
*FOTO : BERNAMA