15 NOV : Tiada sebarang aduan mahupun laporan diterima pihak polis sepanjang proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pagi tadi di kesemua lokasi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menyifatkan kelancaran proses yang berlangsung di 25 lokasi itu sesuatu yang jarang berlaku.
“Penugasan polis bermula seawal jam 5 pagi dengan kekuatan 4,571 pegawai dan anggota yang ditempatkan di 25 pusat penamaan calon seluruh Sabah, selain kawalan di lokasi strategik bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.
“Proses yang bermula seawal pagi hingga tamat sekitar jam 1.30 tengah hari berjalan dengan sempurna. Setakat ini, tiada sebarang kejadian yang mengganggu ketenteraman direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Penamaan calon pagi tadi menyaksikan 596 calon bertanding bagi merebut 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 November depan sebagai hari undi awal sementara 29 November hari pengundian.
Pada sidang media sama, Jauteh menyampaikan penghargaannya terhadap komitmen calon dan penyokong parti yang berdisiplin serta mematuhi arahan keselamatan, memungkinkan proses penamaan calon berjalan lancar selain bebas gangguan.
“Kita berharap tahap profesionalisme ini dikekalkan sehingga hari pengundian pada 29 November nanti,” katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan semua pihak terlibat agar mendapatkan permit polis sebelum menjalankan kempen terutama di kawasan tumpuan ramai.
Setakat ini, tiada permohonan permit yang ditolak pihak polis.
*FOTO : FACEBOOK BERNAMA