Banyak peluang kerjasama Malaysia-Ethiopia
19 NOV : Banyak ruang dan peluang untuk Malaysia dan Ethiopia meneroka kerjasama yang menguntungkan.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ethiopia juga boleh meneroka blok ASEAN yang lain.
“Ia bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di blok ASEAN yang dinamik dan meriah serta di seluruh rantau Asia Pasifik yang lebih luas.
“Biarkan Malaysia menjadi jambatan yang menghubungkan potensi dan kepelbagaian dinamik bagi kedua-dua rantau kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Ethiopia-Malaysia di Addis Ababa, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kehadirannya bersama delegasi termasuk pihak industri dan pelabur sebagai bukti komitmen Malaysia membuka laluan untuk Ethiopia.
“Ini adalah lawatan rasmi pertama saya ke Ethiopia dan saya hadir bersama menteri perdagangan dan pelaburan, serta pegawai kanan dan delegasi perniagaan.
“Tidak perlu ada keraguan tentang komitmen Malaysia untuk membuka laluan baharu bagi perdagangan, pelaburan dan kemakmuran bersama, baik dengan Ethiopia mahupun Afrika secara keseluruhannya,” katanya.
Menurutnya, dalam ketidaktentuan dunia hari ini, semua negara tidak boleh lagi hanya bergantung kepada rakan tradisional.
Katanya, pada masa ini, semua negara perlu bersama-sama mengekalkan kestabilan, menggalakkan pasaran terbuka dan mengejar pertumbuhan inklusif.
“Inilah sebabnya forum hari ini sangat tepat pada masanya. Ethiopia dan Afrika secara keseluruhan, bukan sekadar rakan untuk Malaysia atau Asia Tenggara tetapi rakan strategik dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas.
“Penglibatan ekonomi Malaysia dengan Afrika telah berkembang secara konsisten sepanjang tahun, daripada infrastruktur telekomunikasi kepada perkhidmatan penerbangan, pendidikan, pertanian dan tenaga.
“Reformasi Ethiopia, aspirasi logistiknya dan tenaga kerja muda serta dinamiknya menyediakan asas kukuh untuk kerjasama lebih mendalam,” katanya.
