23 NOV : Kerajaan mensasarkan pelaksanaan larangan membuka akaun media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun bermula tahun depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu dibuat berdasarkan keputusan Kabinet bagi membendung jenayah siber merentas usia selain melindungi kanak-kanak daripada ancaman pemangsa seksual.
“Kita harap menjelang tahun depan, platform-platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, hari ini.
Fahmi berkata selain peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan turut meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang diamalkan Australia dan beberapa negara lain khususnya dari sudut mekanisme penguatkuasaan.
“Negara yang berbeza mungkin mengambil pendekatan yang berbeza, namun kita akan mengkaji kaedah yang paling sesuai untuk memastikan mereka di bawah umur 16 tahun dihalang daripada mempunyai akaun media sosial,” katanya.
Antara mekanisme yang sedang dipertimbangkan ialah mewajibkan platform media sosial menggunakan pengesahan eKYC melibatkan dokumen pengenalan diri kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
“Kita menjangkakan platform dapat melaksanakannya menjelang tahun depan.
“Saya percaya jika kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing, kita dapat memastikan Internet di Malaysia bukan sahaja pantas, meluas dan mampu milik, tetapi yang paling penting selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
