28 JAN : Harga runcit diesel di Semenanjung dinaikkan sebanyak 4 sen kepada RM2.92 seliter bagi tempoh 29 Januari hingga 4 Februari depan.
Sementara harga runcit RON95 dan RON97 kekal tanpa perubahan dalam tempoh sama.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan perubahan harga itu seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.
“Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, MoF mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi kekal masing-masing pada kadar RM3.10 seliter dan RM2.54 seliter.
Dalam pada itu, harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada kadar RM1.99 seliter.
MoF berkata kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).