29 JAN : Kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih berbincang untuk membenarkan pengeluaran caruman bagi Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata insurans asas itu penting bagi memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.
“Soalan berkenaan boleh tak kita ada cara di mana memudahkan proses pembayaran menggunakan caruman yang ada dalam KWSP.
“Sebenarnya sekarang juga dalam Akaun Sejahtera…akaun 2 dalam KWSP kita telah membenarkan penggunaan i-Lindung di mana penyakit kritikal ada dilindungi dalam i-Lindung.
“Jadi, kita masih berbincang dengan KWSP untuk melihat sama ada konsep yang ada dalam insurans asas ini boleh diterima sebagai sebahagian daripada produk dibenarkan untuk pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan tambahan dikemuka Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkait kesediaan kerajaan membenarkan pembelian insurans dengan caruman KWSP.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata kerajaan bakal memiliki sistem yang lebih baik sekaligus menyokong sistem kesihatan negara ini.
“Kita jangka dengan pendekatan yang kita ambil, dengan sokongan diterima daripada semua orang insya-Allah kita ada sistem yang lebih baik dan akan menyokong juga sistem kesihatan yagn dibuat kerajaan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan sentiasa bersedia untuk menerima sebarang pandangan atau cadangan orang ramai bagi penambahbaikan sistem insurans.
Ia dibuktikan dengan projek rintis MHIT Asas yang akan bermula Jun ini.