3 MAC : Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berkait pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diluluskan Dewan Rakyat dengan suara majoriti untuk dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan meneliti RUU berkenaan.
Katanya, penelitian itu termasuk berkait mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya dan mengesyorkan sebarang pindaan yang wajar.
“Jawatankuasa Pilihan Khas boleh sekiranya perlu melanjutkan tempoh berkenaan,” katanya ketika membentangkan usul itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Keanggotaan jawatankuasa tersebut melibatkan, Azalina, William Leong (PH-Selayang), Syahredzan Johan (PH-Bangi), Adly Zahari (PH-Alor Gajah), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) dan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau).
Selain itu, turut dianggotai Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).