17 MAC : Kerajaan akan meneliti Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi menangani isu penyeludupan bahan api itu di Sabah dan Sarawak.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan menilai semula mekanisme sedia ada bagi menentukan sama ada ia wajar diteruskan atau digantikan dengan pendekatan baharu.
“Mesyuarat Jemaah Menteri diberi sedikit maklum balas mengenai mesyuarat yang diadakan jawatankuasa penguatkuasaan, terutama dalam usaha menangani masalah penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.
“Antara yang diberi penegasan adalah mekanisme SKDS yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme sedia ada atau dirangka satu mekanisme yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata bagi meningkatkan keberkesanan dalam membanteras penyeludupan, kerajaan akan memperkemas agensi penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menurutnya, KPDN akan menguruskan penguatkuasaan di darat sementara Maritim Malaysia bertanggungjawab di perairan dan sungai.
“Sekarang ada sedikit perbincangan dan juga kawasan sempadan akan diuruskan oleh AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan),” katanya.
Dalam konflik di Asia Barat, Menteri Komunikasi itu berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua menteri lebih proaktif mengadakan libat urus dengan sektor-sektor berkaitan.
“Ia seperti dilakukan Menteri Pengangkutan yang mengadakan perbincangan dengan sektor penerbangan yang mana kesan daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat memberi impak terhadap sektor terbabit.
“Apa yang akan dibuat selepas ini adalah mengumpulkan semua dapatan dan hasil daripada keseluruhan dapatan itu, secara keseluruhan (akan) memberi satu hala tuju untuk usaha dan inisiatif serta bantuan daripada kerajaan untuk sektor-sektor tertentu sekiranya itu dilihat perlu,” katanya.