KENYATAAN MEDIA
SUMUD NUSANTARA COMMAND CENTER
1. Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan bahawa sehingga 38 jam selepas penahanan aktivis Global Sumud Flotilla oleh rejim Israel, pihak SNCC masih belum menerima pengesahan rasmi mengenai status keselamatan kesemua 175 aktivis yang terlibat, termasuk 10 rakyat Malaysia.
2. SNCC meneliti informasi bahawa semua aktivis akan dibebaskan pada jam 7 pagi waktu Greece bersamaan 12:00 tengah hari waktu Malaysia di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece, namun status terkini masih belum dapat disahkan melalui saluran rasmi.
3. SNCC telah dihubungi oleh Perdana Menteri yang menyatakan pendirian tegas Kerajaan Malaysia, termasuk kecaman terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh pihak rejim serta komitmen maksimal berterusan yang sedang digerakkan bagi membebaskan semua tahanan.
4. SNCC dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri bahawa kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra telah mulakan usaha maksimum berhubung dengan Konsul Kehormat Malaysia di Greece bagi membantu dan menyelaras usaha pembebasan khususnya pengurusan aktivis Malaysia yang ditahan.
5. SNCC kembali memberi fokus dan mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus memberi tekanan menzahirkan pendirian untuk memahami isu pencabulan ini dan penzaliman yang telah dilakukan oleh rejim kepada saudara kita di Gaza dan Palestin.
6. Melalui rangkaian perundangan CENTHRA, pihak SNCC memaklumkan usaha ditingkatkan bersama keseluruhan kumpulan perundangan daripada serata dunia untuk memberi tekanan kepada pihak rejim dalam usaha pembebasan tahanan.
7. SNCC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersuara dan menyatakan sokongan terhadap usaha pembebasan Gaza serta meningkatkan kesedaran awam mengenai isu kemanusiaan yang sedang berlaku melalui penyebaran maklumat yang sahih dan advokasi berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa.
8. SNCC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu hati dan segera melaksanakan solat hajat serta doa Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan serta keselamatan buat seluruh delegasi misi, khususnya rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak rejim.
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ
Kepada Allah jualah kami berserah
DATUK SANI ARABY ABDUL ALIM ARABY
KETUA PENGARAH SNCC