Pelaburan mesti beri manfaat kepada rakyat, bukan sekadar angka
23 MEI : Pelaburan yang masuk ke Malaysia perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat serta memperkukuh keupayaan syarikat tempatan, bukan sekadar mencatat angka pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa petunjuk ekonomi menunjukkan perkembangan positif apabila pertumbuhan, pelaburan dan pasaran modal negara terus mencatat momentum positif.
Namun, katanya, kerajaan tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian tersebut tanpa memastikan manfaat pertumbuhan itu benar-benar dirasai rakyat.
“Alhamdulillah, beberapa petunjuk mutakhir menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan tatkala pertumbuhan, pelaburan dan pasaran modal terus mencatat momentum positif, malah dalam beberapa aspek melangkaui unjuran awal. Namun kita tidak boleh leka dengan angka semata-mata.
“Pelaburan yang masuk ke negara kita mesti berakar di bumi Malaysia, membina keupayaan syarikat tempatan, meningkatkan kemahiran anak watan, memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan akhirnya mengangkat darjat hidup rakyat terbanyak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, malam tadi.
Menurutnya, forum itu menumpu kepada persoalan besar tentang bagaimana Malaysia menempatkan diri secara lebih ampuh dalam arus baharu aliran modal global?
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kejayaan ekonomi negara tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan angka besar di atas kertas.
Sebaliknya beliau berkata pertumbuhan mesti dirasai peniaga kecil, pekerja biasa, anak muda yang mencari pekerjaan bermaruah serta rakyat di desa dan pedalaman.
“Kerana itu Kerajaan MADANI membawa agenda pembangunan yang berpaksikan keadilan sosial dan berusaha memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.
Anwar menyifatkan Malaysia kini berada di persimpangan penting susulan perubahan arus modal global serta peningkatan kepentingan ketahanan ekonomi sebagai elemen daya saing sesebuah negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata reformasi, tatakelola, disiplin fiskal serta usaha membina keupayaan nasional perlu terus diperkukuh bagi memastikan negara kekal berdaya tahan dan kompetitif.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha agar kemajuan negara bukan sahaja terpancar pada angka makro, tetapi benar-benar dirasai dalam kehidupan rakyat di seluruh negara,” katanya.
