Hayati kesederhanan dizahir dalam ibadah haji, jangan terpesong
26 MEI : Umat Islam di negara ini diajak untuk menghayati pesanan kesederhanaan yang dizahirkan dalam ibadah haji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan umat Islam sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara.
“Jangan kita terpesong dari tujuan dan landasan kita. Dunia harus menjadi jambatan utuh ke arah negeri yang abadi dan kekal selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut esok.
Selain itu, Anwar berkata setiap pengorbanan yang dilakukan hari ini merupakan asas penting untuk membina masa depan yang lebih baik kepada keluarga dan negara.
“Di sebalik ikhtiar dan usaha yang dilakukan kita dalam mendepani pelbagai cabaran yang mendatang, pasti ada pengorbanan yang harus menjadi prasyarat.
“Justeru, pengorbanan yang kita lakukan hari ini punya harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara sama ada dalam hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan dan lapangan keagamaan punya penekanan dan manifestasi masa hadapan.
“Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan malah, kehidupan selepas kematian juga,” katanya.
Sempena sambutan perayaan ini, Anwar berkata hikmah menunaikan ibadah haji merupakan antara kurniaan terbesar Allah SWT kepada hambaNya.
“Kita mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam. Haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri yang bertujuan memadrasahkan jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.
“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih dan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.
“Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira tingkat diri di dalam masyarakat, darjat atau pangkat, lantas membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT.
“Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi garapan yang mendalam, penghayatan dan hidupnya amalan kita,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Anwar mendoakan agar para jemaah yang kini berada di tanah suci beroleh haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dengan sejahtera.