19 JUN : Perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dimetrai dijangka memberi impak positif kepada harga minyak, namun proses pemulihan bekalan global tidak akan berlaku dalam tempoh yang singkat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kestabilan harga minyak dunia memerlukan masa untuk dicapai kerana turut dipengaruhi faktor seperti kos logistik, pengangkutan dan insurans yang meningkat sepanjang krisis di Asia Barat.
“Sudah tentu kita sambut baik perjanjian perdamaian bagi memulihkan krisis yang berlaku di Selat Hormuz dan itu akan membuka laluan semula kepada kapal-kapal minyak dan juga kapal dagang yang lain, sekali gus memberi kelegaan kepada kebanyakan negara yang terkesan daripada krisis itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Agensi-Agensi Kerajaan dan Warga Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, hari ini.
Semalam, Iran dan AS sah sudah menandatangani dokumen perjnajian bagi menamatkan konflik di Asia Barat yang dikenali sebagai ‘Islamabad Memorandum of Understanding (MoU)’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan perjanjian itu akan membuka ruang bagi menamatkan konflik serta menjamin keamanan yang lebih berkekalan di Asia Barat.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan impak krisis global itu terhadap rakyat termasuk mengekalkan harga petrol bersubsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Masa ke hadapan ini, saya fikir kerajaan dari semasa ke semasa melalui Majlis Tindakan Ekonomi akan melihat keperluan bagi tempoh empat hingga enam bulan ini sementara kita menunggu keadaan benar-benar terkawal supaya rakyat tidak terbeban dengan sebarang kenaikan kos yang berlaku,” katanya.
Mengulas soal subsidi petrol, Muhammad Kamil berkata kerajaan akan menilai semula pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bergantung kepada keadaan semasa pasaran minyak global.