Malaysia-Bangladesh sepakat perkukuh kerjasama melalui ASEAN
22 JUN : Malaysia dan Bangladesh sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama menerusi mekanisme ASEAN dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis Rohingya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu termasuk memperhebat penglibatan dengan pihak berkuasa Myanmar.
“Dalam sidang media bersama, kami menzahirkan kesepakatan untuk terus memperkukuh kerjasama menerusi mekanisme ASEAN dalam usaha mencari penyelesaian yang mampan dan menyeluruh terhadap krisis pelarian Rohingya.
“Usaha ini termasuk memperhebat penglibatan dengan pihak berkuasa Myanmar serta semua pihak berkepentingan bagi menangani punca dan implikasi kemanusiaan yang berlarutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas sidang media bersama dengan Tarique Rahman, hari ini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh itu ke Malaysia selama dua hari.
Menyentuh isu global, Anwar berkata beliau dan Tarique turut berkongsi pendirian tegas mengenai keperluan menamatkan penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman berterusan rejim zionis Israel di Gaza.
Selain itu, mereka juga menekankan pentingnya usaha diplomasi dan dialog bagi menjamin keamanan yang berkekalan di rantau Teluk serta meredakan ketegangan yang melibatkan Iran.
Kedua-dua Perdana Menteri kemudiannya turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Kebudayaan, selain dua pertukaran Nota (EoN) berkaitan penyelidikan antikeganasan serta promosi dan pemudahcaraan pelaburan.
Menurut Anwar, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperluas hubungan dua hala yang lebih erat, dinamik dan saling menguntungkan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
