13 JUL : Kerajaan akan mengusulkan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu akan membolehkan penelitian lebih menyeluruh terhadap setiap fasal RUU melalui libat urus bersama ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak serta pelbagai pihak berkepentingan.
“JKPK akan ditubuhkan di bawah Peraturan Mesyuarat 81(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dijangka pada hari Selasa, 14 Julai 2026,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Azalina, pendekatan berkenaan selaras dengan amalan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi yang besar dan kompleks.
Katanya, ia bukan sekadar meluluskan satu undang-undang tetapi membentuk sebuah kerangka perundangan yang komprehensif, seimbang dan diyakini rakyat.
“Reformasi yang baik ialah reformasi yang mampu bertahan, memperkukuh kepercayaan awam dan terus berfungsi untuk generasi akan datang demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali yang pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk melaksanakan reformasi institusi yang bermakna termasuk dengan penggubalan RUU itu.
Katanya lagi, RUU tersebut merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik di samping meningkatkan akses rakyat kepada maklumat rasmi kerajaan secara teratur juga berlandaskan undang-undang.
“Kerajaan juga mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pihak berkepentingan berhubung beberapa aspek RUU tersebut.
“Pandangan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan undang-undang yang bakal digubal benar-benar memenuhi matlamat reformasi dan menepati amalan terbaik,” katanya.