27 JUL : Istana Negeri Sembilan mengingatkan semua parti politik agar tidak mengaitkan institusi diraja ketika berceramah dan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Melalui satu kenyataan, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali menegaskan institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat kepada mana-mana parti atau kegiatan politik.
“Institusi Raja adalah payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.

“Sehubungan itu, institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
“Sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana ahli kerabat diraja dengan parti politik adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau juga menasihatkan calon bagi kesemua parti politik yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan ini tidak memainkan isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) serta berkempen secara berhemah, beretika serta mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri.
Dalam pada itu, Azizi turut menghargai kerjasama semua pihak bagi memastikan institusi diraja terus dihormati.
Menurutnya, usaha itu penting bagi mengelakkan sebarang salah tafsir atau eksploitasi demi kepentingan mana-mana pihak.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak disahkan.
Katanya, maklumat sahih perlu diperoleh menerusi saluran rasmi Istana Negeri Sembilan.