28 JUL : Malaysia terus memperketat kawalan sempadan dengan mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf dokumen perjalanan dikeluarkan Israel bagi tujuan kemasukan ke negara ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, langkah itu selaras dasar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, di samping menyokong pendirian Kerajaan MADANI mempertahankan hak rakyat Palestin serta kepentingan negara.
“Sehubungan itu, dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia, selaras dengan dasar Kerajaan Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan,” menurut KDN dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut KDN, kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang serta aspek keselamatan akan terus diperkasakan tanpa sebarang kompromi.
“Selaras dengan pendirian tersebut, KDN akan terus memastikan segala aspek berkaitan kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan dalam negeri dilaksanakan secara tegas, profesional dan tanpa kompromi,” katanya.
KDN berkata, Jabatan Imigresen Malaysia akan terus menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing berpandukan Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966, peraturan imigresen berkuat kuasa serta penilaian keselamatan agensi berkaitan.
Menurut kenyataan itu, setiap permohonan kemasukan warga asing akan melalui pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan serta penilaian risiko secara menyeluruh.
“Mana-mana individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam, kepentingan negara atau termasuk dalam kategori imigran yang dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia atau akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” menurut kementerian itu.
KDN turut menegaskan pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar urusan imigresen. Langkah itu menjadi sebahagian sistem keselamatan negara melibatkan PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi penguat kuasa lain.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memastikan setiap keputusan berkaitan kemasukan warga asing mengambil kira aspek keselamatan nasional, kedaulatan negara, kepentingan awam serta pematuhan kepada undang-undang Malaysia,” katanya.