29 JUL : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan kiraan undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi, SPR memaklumkan proses kiraan undi awal hanya akan bermula 1 Ogos ini selepas semua urusan pengundian selesai.
“SPR ingin memaklumkan bahawa proses kiraan pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan ke-16 hanya akan bermula pada jam 5.00 petang, 1 Ogos 2026 (selepas selesai urusan pengundian),” menurut kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, tular maklumat penjumlahan undi awal di media sosial yang berlangsung semalam melibatkan anggota polis dan tentera.
Dalam pada itu, SPR menyarankan orang ramai merujuk pengumuman rasmi pihaknya bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan keputusan pilihan raya.
Menurut kenyataan itu, penyebaran maklumat palsu boleh menjejaskan kelancaran proses pilihan raya.
“Elakkan daripada menyebar atau mempercayai sebarang maklumat palsu kerana ia menjejaskan kelancaran proses pilihan raya,” kata SPR.
Semalam, sejumlah 91.06 peratus atau 14,995 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera, polis dan pasangan melaksanakan tanggungjawab di 38 pusat mengundi sempena PRN Negeri Sembilan.
